Sunday, January 18, 2009

Buat renungan sahabat2 mahasiswa/mahasiswi 2009

Maruah seseorang adalah bergantung kepada dirinya sendiri. Dengan penuh sedar, saya ingin menegaskan bahawa saya bukanlah manusia terbaik untuk dijadikan contoh dalam hal ini, apatah lagi untuk mengatakan bahawa saya tidak terjebak dengan sebarang kesilapan ketika berbicara. Namun, bila baru masanya akan datang manusia yang serba sempurna yang dinobatkan layak berbicara tentang adab?

Berbicara di sini difokuskan kepada adab berbicara antara ikhwah dan akhawat. Allah SWT menegaskan adab berbicara khususnya bagi golongan muslimat apabila berkomunikasi dengan lelaki yang bukan mahram :
"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa."

Oleh itu,"janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopa" (Al-Ahzab : 32)

Ibnu Kathir Rahimahullah di dalam Tafsir Quranul `Azim semasa menafsirkan ayat di atas menyebut bahawa perintah tersebut tidaklah hanya terbatas kepada isteri-isteri nabi bahkan kepada semua wanita-wanita muslimah. Apa yang dimaksudkan dengan lembut manja itu ialah sengaja melembutkan suara apabila bercakap dengan lelaki yang bukan mahram. Termasuk juga di dalam perintah ini ialah para lelaki semasa berbicara dengan wanita-wanita yang bukan mahram.

Manakala Al-Qurtuby pula berpendapat percakapan yang dimaksudkan ialah percakapan yang hanya meliputi perkara-perkara yang perlu sahaja dengan suara yang tidak sengaja dilembut-lembutkan.

Berdasarkan kepada ayat ini, kita sepatutnya boleh melakukan satu muhasabah yang terbaik. Sudah sering kali kita laungkan untuk membina atau sekurang-kurangnya mengekalkan apa yang kita namakan sebagai ‘biah solehah’ , namun semakin hari rasanya impian itu semakin terhakis apabila melihat adab berbicara dan berkomunikasi antara ikhwah dan akhawat yang semakin tidak terjaga.Kenapa ini harus berlaku apabila kita suburkan cita-cita murni untuk melahirkan generasi pejuang ?

Realiti kita hari ini menyatakan kepada kita bahawa semakin ramai yang berani ‘memperkosa’ suasana murni yang ingin kita wujudkan. Maaf seandainya perkataan kurang elok terpaksa digunakan namun itulah hakikatnya. Di hati ini, hanya tuhan yang tahu pedihnya hati ini bila melihat siswa dan siswi berbicara antara satu sama lain dengan jarak yang mampu diukur oleh pembaris 30 cm, diselangi dengan hilai tawa dan suara lemak manja persis suasana di sekolah menengah.

Mana lagi maruah sebagai pejuang Islam ?
Saya ingin bertanya kepada siswa yang terlalu enak berbicara dengan siswi bersama lagak yang kurang menyenangkan itu, tidak malukah anda meruntuhkan kredibiliti anda sebagai bakal pemimpin? Tidak malukah anda memperlihatkan kepada orang lain betapa besarnya keruntuhan moral yang ada di dalam jiwa anda? Tidak malukah anda menzahirkan betapa anda tidak layak untuk digelar sebagai pejuang Islam? Pejuangkah anda yang sudah tunduk dengan kelunakan suara seorang wanita ?!!

Kepada siswi, tentu sekali kita ingin bertanya, tidak aibkah anda mendedahkan kelunakkan suara yang begitu lemak manja yang pastinya hanya layak untuk seseorang di malam yang pertama?

Realitinya, ramai di kalangan anda yang memakai jubah luaran namun tidak ‘menjubahkan’ hati dan peribadi.

Tahukah anda, ramai lelaki yang runtuh hatinya semata-mata kerana kelunakkan suaramu?
Tidak sedarkah anda, dengan melunakkan suara selembut yang mungkin bila berbicara, anda sebenarnya sudah merosakkan ‘dara’ suaramu..?
Masih tidak tahukah anda bahawa walau senakal manapun seorang lelaki beriman yang normal, dia tetap akan mencari isteri solehah yang terbaik menjadi suri hidupnya..?

Namun, solehahkah ketawa terkekek-kekek di tengah khalayak ketika berbicara dengan lelaki bukan mahram? Anda bangga dengan perbuatan itu? Terpulang !!
Kita tidak mahu siswa-siswi menjaga adab pergaulan hanya kerana malu kepada mata-mata yang memandang. Apa yang kita mahukan ialah generasi pemuda-pemudi yang hanya takutkan Allah. Kita tidak suka munculnya generasi yang penuh dengan sikap kepura-puraan, tunduk menikus hanya kerana malu menghadapi kata-kata orang lain, namun di celah-celah yang tersembunyi, kita benarkan diri kita merobohkan pagar IMAN ! Tanyalah diri sendiri, layakkah aku digelar pejuang ?!

Dalam kelemahan diri yang begitu banyak, kita lantas melabelkan diri kita sebagai pendokong kebangkitan Islam, tidak malukah kita?!!
Kita akan mendapat jawapannya seandainya kita ikhlas dalam memberikan jawapan. Sudah ramai di luar sana yang rebah kerana tidak mampu bertahan dengan ujian di zaman remaja.

Lalu, masihkah ingin kita memilih untuk turut menjadi mereka ? Sepatutnya kita sudah cukup untuk menangis dengan kemunculan generasi remaja yang sudah lupakan Tuhannya, lalu kita bangkit sebagai generasi qudwah yang akan mengungguli contoh yang terbaik. Sayang, dalam keadaan kampus kita seperti hari ini, secara ikhlas ingin saya nyatakan, kita mungkin hanya akan mengulangi sejarah kegagalan generasi yang terdahulu.

Di peringkat umur sebegini, tentulah kita tidak mahu siswa-siswi perlu ‘dimarahi’ terlebih dahulu untuk melazimkan mereka dengan adab pergaulan. Lebih berkesan seandainya masing-masing menyedari tanggungjawab dan batasan pergaulan khususnya golongan yang sepatutnya menjadi contoh (tentunya pimpinan dan senior). Mungkin ramai yang menganggap ia sebagai isu yang remeh temeh di tengah-tengah cabaran globalisasi menuntut kita berfikiran terbuka, namun bagi saya, ia tetap isu yang besar di dalam menjana pertumbuhan generasi qudwah.

Sekali lagi, sebelum mengakhiri tulisan ini, penulis rencana ini bukanlah seorang contoh yang terbaik, malah mungkin kadang-kadang turut rebah di tengah-tengah kehebatan prinsip dan idealisme. Namun,kalau tidak sekarang kita menegur, bila lagi? Dan kalau tidak kita,siapa lagi ?!!

" Untungnya orang mukmin, semakin banyak masalah, semakin mustajab doanya, bukan perjuangan tanpa kesulitan, tapi dalam kesulitan ada ketenangan, memugar kekuatan..kita tidak sendirian.."

" Daerah kita bukan daerah cinta, bukan masanya merajuk, kasih memujuk, tiada senda gurau memanjang, kerana kita dalam berjuang…"

Moga Allah beri kita bantuan untuk bermujahadah, memperelokkan akhlak dan ketaqwaan kita, kerna kita semua barisan mujahid dan mujahidah Islami..

Moga Allah beri sokongan dan kemudahan untuk kita gilap kembali permata yang sekian lama bersalut lumpur.. yang kian lama terbenam di ceruk rumpaian-rumpaian yang telah mati.

Bentengilah dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah… Hiasilah wajah mu dengan titisan wudhuk ….. ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya.

"Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah …… umpama sebutir permata yang didedahkan buat perhatian umum dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup ….. sudah pastinya keinginan untuk melihat permata yang tersembunyi itu melebihi daripada yang terdedah, wanita solehah yang taat dan patuh pada Al Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam".

No comments:

Post a Comment